Seabad sejak membuka pintu bagi menerima kunjungan tetamu, 1926 Heritage Hotel kini kembali dengan wajah baharu, di bawah jenama The Unlimited Collection by The Ascott Limited.
Terletak di Jalan Burma, George Town, Pulau Pinang, 1926 Heritage Hotel hari ini tampil sebagai tarikan baharu bandar ini, menggabungkan keindahan seni bina warisan dengan keselesaan moden dalam binaan yang penuh harmoni.
Dibina pada tahun 1926 sebagai kediaman rasmi pegawai British, ia kini dipulihkan dengan penuh teliti dengan mengekalkan identiti warisan yang kaya dan disesuaikan bagi keperluan pengembara hari ini.
Bahagian muka bangunan dihiasi cat putih dengan sentuhan coklat lembut mencerminkan pesona warisan hotel ini, menampilkan elemen seni bina Anglo-Melayu yang mewarnai era peralihan di bandar George Town.
Di pintu masuk utama hotel, logo pohon palma yang diapit dua harimau kumbang menyambut tetamu, menjadi simbol sambutan tetamu pulang ke rumah kediaman.
“Seiring dengan perjalanan yang semakin dipengaruhi oleh budaya dan pengalaman, kami melihat peningkatan permintaan terhadap destinasi yang mempunyai identiti yang unik.
Selaras dengan Tahun Melawat Malaysia 2026, 1926 Heritage Hotel ingin menawarkan pengalaman unik Pulau Pinang yang menghubungkan pengembara dengan destinasi dalam cara yang lebih bermakna dan autentik.
Sempena ulang tahun seabadnya, bangunan ini telah dipulihkan dengan teliti, mengekalkan identiti asal sambil memastikan ia kekal sebagai sebahagian daripada warisan Pulau Pinang untuk generasi akan datang,” ulas Mondi Mecja, Pengurus Besar, Ascott Malaysia.
Sebahagian Kisah Pulau Pinang
Direka semula bagi tetamu moden, reka bentuk hotel ini mengekalkan ciri-ciri Pulau Pinang lama menerusi setiap koridor yang dipelihara dan ruang yang diolah semula. Pintu berkembar utama hotel membawa tetamu ke bahagian lobi utama.
Lobi menyambut kehadiran semua dengan dinding seni ikonik yang menampilkan marquetry jerami berinspirasikan Perancis, yang turut menceritakan kisah pokok palma dan harimau kumbang. Setiap ruang bukan sekadar memberikan penghormatan pada masa lalu, namun mencerminkan ketersambungan harmoni yang menggabungkan gaya pesona selat Pulau Pinang dan kemewahan moden yang tenang.
















