Selepas bertahun tutup, Stadium Merdeka yang ikonik telah membuka pintunya kepada orang awam. Dikembalikan semula zaman kegemilangan 1957 dengan penjagaan yang teliti dan dipertingkatkan dengan pengubahsuaian moden, mercu tanda ikonik ini bersedia untuk mengalu-alukan generasi baharu sambil mengekalkan warisan sejarahnya.
Sejak dibuka semula pada 17 Ogos 2024, lokasi bersejarah ini telah menjadi hab aktiviti yang sibuk, dengan menganjurkan sejumlah 209 acara merangkumi kebudayaan, seni, pendidikan, warisan dan sukan.
Terbaharu, Stadium Merdeka mempamerkan konsert The Journey of Sound, yang menampilkan Judika dan Dato’ Sri Siti Nurhaliza pada 14 Disember 2024. Malam yang bersejarah itu telah menarik lebih 28,000 penonton, termasuk peminat tempatan dan antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif PMVSB, Dato’ Tengku Ab. Aziz Mahmud, “Kami berbesar hati telah menerajui pemuliharaan Stadium Merdeka, mercu tanda ikonik negara di mana Perdana Menteri pertama mengisytiharkan kemerdekaan Malaysia.
Hari ini, tempat bersejarah ini dihidupkan semula dan bersedia untuk menerima kehadiran semua rakyat Malaysia, berfungsi sebagai ruang dinamik untuk perhimpunan komuniti, perayaan kebudayaan dan acara sukan.
Kami mengalu-alukan kehadiran semua untuk merasai semangat dan legasi Stadium Merdeka yang diperbaharui”

Menerusi inisiatif pendidikannya, Stadium Merdeka telah menjadi hab dinamik untuk pembelajaran, kreativiti dan pemeliharaan budaya. Program utama termasuk kelas tarian kebudayaan bulanan untuk belia dan dewasa, memupuk penghargaan terhadap tarian tradisional Malaysia.
Para peserta boleh menyertai keseronokan ini dengan mendaftar melalui Linktree Instagram Stadium Merdeka, untuk semua maklumat yang meliputi tempat letak kereta sehinggalah atur cara program yang terkini.
Selain itu, Bengkel Craftiviti (aktiviti kraf) telah berlangsung di Stadium Merdeka sejak 25 Ogos 2024. Diterajui oleh Akademi Seni Ayayu dan Soutus.My, bengkel ini memberi tumpuan kepada lukisan batik. Lebih daripada 221 peserta telah menghadiri bengkel ini, justeru dapat memupuk kreativiti dan pembelajaran secara langsung.
















